Isnin, 31 Ogos 2009

Penang mai...


kadang-kadang hidup ini perlukan ruang untuk lapangkannya...
jadi pada kelapangan yang ada aku dan rakan baikku Mas pergi bercuti di Penang. Kami pergi cuma dalam 2 hari sahaja, namun masa yang singkat ini tetap bermakna buat kami...

Selasa, 25 Ogos 2009

Selubung resah




Karya : Noor hafidzanee Bte Dzullailee

Kadang-kadang aku keliru
Kadang-kadang aku bingung
Kadang-kadang aku resah
Sendirian melayan rasa Ingin,gamit segala mahu
Terjerumus atas dasar hina
Hina akan daif
Hina akan sengsara
Hingga Kekurangan diri turut menyelubungi
Apakah semua ini ilusi semata

Hingga terasa kenyataan akannya
Aku mencari ketenangan
Mencari kedamaian yang semakin menjauhi

Semakin tenggelam
Perlahan-lahan menuju dasar
Terdengar jeritan
Laungan suara-suara kecil
Seakan ketawakan aku

Mengejek kebodohan
Mencerca kelemahan

TIDAK!!!!!!!!!!!!!!!!!
Aku tidak akan mengalah

Kalah dengan mereka
yang penuh durjana.....
Aku akan terus melangkah ke hadapan

Dan terus melangkah....

Sabtu, 22 Ogos 2009



KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Jumaat, 21 Ogos 2009

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK


SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA DIUCAPKAN BUAT SEMUA UMAT ISLAM SEANTERO DUNIA...DI BULAN YANG PENUH KEBERKATAN INI MARILAH KITA BERSAMA-SAMA MENDEKATKAN DIRI DENGAN KEBAIKAN DAN MENJAUHKAN DIRI DARI KEMUNGKARAN...

Jumaat, 14 Ogos 2009

SEMINAR KEBANGSAAN PENDIDIKAN KESUSASTERAAN



Pada 10 dan 11 ogos yang lepas, fakulti penulisan ASWARA telah menganjurkan Seminar kebangsaan pendidikan kesusasteraan dengan bertemakan 'Kesusasteraan pemangkin keperkasaan bahasa'. Seminar ini bertujuan untuk meningkatkan lagi rasa sayang dan minat rakyat amnya terhadap kesusasteraan bahasa ibunda dengan menyerapkan sastera dalam pendidikan secara teratur dan mendalam.
Seminar ini juga telah mengundang beberapa tokoh bahasa dan sastera untuk membentangkan kertas kerja serta menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh para peserta seminar.
antara tokoh kesusasteraan yang hadir membentangkan kertas kerja ialah Prof. Dr. A.Rahman Napiah (Mana Sikana), Prof.Madya Dr.Lim Swee Tin, dan Prof. Rahman Shaari.
melalui seminar ini saya telah menemui banyak perkataan baharu yang boleh membantu saya menghasilkan karya sastera yang bermutu kelak. Antaranya ialah Pawitra yang bermaksud sesuatu yang sangat suci, kolokial iaitu basahan dan banyak lagi. Betullah kata ilmuan bijak pandai ' ilmu ini amatlah luas pengajiannya dan tiada penghujung' .
Di sini juga saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada fakulti penulisan ASWARA dalam usaha memartabatkan sastera kita.
Wassalam...


Selasa, 11 Ogos 2009

Apa itu kontrak sosial?


Hari pertama kelas Pengajian Malaysia kami semua telah di ajukan satu soalan oleh pensyarah . Soalan yang diajukan beliau ialah apakah itu kontrak sosial?. Namun tiada jawapan yang kedengaran, memang semua pelajar walhal rakyat Malaysia sendiri tidak tahu apakah maksud perkataan tersebut. Saya sekali lagi berasa teramat malu atas ketidakpekaan dan kealpaan diri sendiri, petang itu dengan semangat dan perasaan yang berkobar-kobar saya terus mencari maksud kontrak sosial itu. Memang betul pepatah melayu mengatakan 'usaha tangga kejayaan' kerana saya telah berjaya memperolehi serba sedikit maksud kontrak sosial itu. Antara jawapan bagi persoalan itu ialah ;

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.

Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.

Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.

Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan pula adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian.Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu (yang lain).

Ini seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:

“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”

Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum.Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Seperti yang diterangkan oleh Mohamed Suffian:

“Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”

Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

  1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Beberapa abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan British pun raja-raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat dan masih lagi mempunyai kuasa bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing meskipun mereka dipaksa menerima beberapa triti dengan British untuk menerima penasihat British.

Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.

Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri. Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan persekutuan iaitu parlimen.

Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.

Negara ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan negeri.

Di sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii) menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum Merdeka.

Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut;

Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.

Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.

Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak. Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.

3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia.

Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:

“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam.

Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.

Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:

a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri

b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan

c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang

Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2).

4. BAHASA MELAYU

Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.

Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan:

“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju”

Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa-

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi