Sabtu, 3 April 2010

Gaya bahasa

Dalam penulisan kreatif terdapat gaya bahasanya yang tersendiri demi menimbulkan keindahan dalam berbahasa. Bagi masyarakat Melayu khususnya, atau masyarakat timur amnya, gaya dalam berbahasa kerana masyarakat Melayu penuh dengan kesantunan. Kritikan atau teguran misalnya, tidak disampaikan secara terus demi menjaga maruah orang yang ditegur. Demikianlah sifat masyarakat kita yang amat mementingkan adab. Masyarakat Melayu tradisional yang hidup berdamping dengan alam sering menjadikan alam sebagai alat perbandingan untuk menyatakan hasrat dan persepsi mereka tentang segala perkara. ‘ Alam terbentang jadikan guru’ merupakan ungkapan peribadi orang melayu kerana alam dan sunahnya tidak menipu. Gerak awan sebelum turunnya hujan, ombak lautan yang berselang seli santun dan ganasnya, pucuk tumbuhan yang seragam sifatnya pada setiap musim, dan begitu juga sifat haiwan yang tidak berubah polanya sentiasa menjadi rujukan masyarakat Melayu tradisi. Mereka menjadikan alam sebagai pembayang kepada rentak dan tingkah manusia supaya hasrat dan aspirasi mereka tersampai secara halus, sesuai dengan kehalusan budi dan daya manusia Melayu. Inilah keunikan bangsa yang seharusnya disuburkan demi memastikan budaya halus Melayu tetap terjaga.

Biarpun masa berubah dan manusia Melayu sudah dirempuh oleh peradaban besar dunia yang semakin berkuasa lantaran terbukanya langit maklumat, sahsiah murni bangsa wajar dikekalkan. Dalam hubungan ini, bentuk pengucapan secara berkias, baik dalam komunikasi bersemuka mahupun dalam budaya tulisan perlu diajarkan kepada generasi kini.

Terdapat beberapa gaya bahasa tradisional yang kini masih dan sering digunakan iaitu

  • Simile
  • Metafora
  • Personifikasi
  • Depersonifikasi
  • Hiperbola
  • alusi